Make your own free website on Tripod.com

PONDOK PASIR TUMBOH

Tuan Guru Hj Hashim: 09-7652193
4 km dari Kubang Kerian. 1 km dari simpang empat (lampu isyarat) Pasir Tumboh menghala ke timur. Berdekatan perumahan Desa Darulnaim dan MRSM Pasir Tumboh.
Tuan Guru Hj 'Atiqullah 09-7652681
Sejarah

Pondok Pasir Tumboh telah diasas oleh Tuan Hj Yusof. Iaitu ayah kepada YB Ust Daud Yusof (bekas Mudir Madinatul Ilmi) Adun Peringat sekarang. Ketika itu bilangan pelajar seramai puluhan orang tidak termasuk orang kampung yang turut mengambil peluang menimba ilmu.

Tahun 1954 Almarhum Tuan Guru Hj Mustaffa, Almarhum Tuan Guru Hj Abdul Aziz dan Tuan Guru Hj Hashim yang baru pulang dari Makkah Al-Mukarramah diberi penghormatan untuk mengajar di situ dan bermulalah secara rasminya kewujudan Madrasah Ad-Diniyyah Al-Bakriyyah sebagai mengambil sempena nama ayah mereka bertiga. (Tuan Guru Hj Hashim ialah adik ipar kepada Tuan Guru Ayah Pa dan Ayah Zit- kebetulan berbinkan Hj Abu Bakar juga).

Pengajian sulong bertempat di balaisah kecil berukuran 30x40 kaki persegi yang dapat menampung seramai 50 pelajar.

Perkembangan

1959

Dalam masa yang singkat, pusat pengajian ini telah menjadi buah mulut masyarakat Islam di seluruh pelusuk tanahair. Pelajar baru berdatangan untuk menimba ilmu di sini. Bilangan mereka mencecah ke angka 700 orang. Dan timbullah keperluan kepada ruang yang lebih luas untuk halaqah-halaqah pengajian. Lalu sebuah masjid didirikan dengan menelan belanja sebanyak RM45,000. Masjid menjadikan ciri istimewa bagi Pondok Pasir Tumboh kerana diluluskan sebagai masjid mukim (jami') untuk didirikan solat Jumaat.

1969

Sebuah bangunan baru dua tingkat menelan belanja RM35,000 didirikan.

1984

Sebuah lagi bangunan dua tingkat dibina bersebelahan masjid dan digunakan sebagai tempat belajar. Di sini juga para pelajar mengadakan majlis Muhadharah (Pidato) setiap minggu untuk mengasah bakat sebagai penceramah dan khatib. Pertandingan Pidato

1988

Bangunan baru dua tingkat 40x60 kaki dibina bagi menampung peningkatan pelajar. Sehingga tahun ini, pelajar di pusat pengajian pondok ini ialah seramai 1,500 orang. Guru (tenaga pengajar tidak termasuk Kepala Mutola'ah) seramai 22 orang.

Perkembangan utama yang dapat dilihat ialah dari segi pertambahan pelajar dari 50 orang pada awal 1954 kepada 1,500 orang pada tahun 1988.

Pada hari ini, pelajar berdaftar yang mengikuti pengajian secara sepenuh masa seramai 700 orang dan 30 peratus dari jumlah itu ialah pelajar muslimat.

 

Jalinan Hubungan

Walaupun tiada pertukaran guru (tenaga pengajar) dilakukan antara sesama pusat pengajian pondok yang lain, namun hubungan itu tetap terjalin dari segi pertukaran idea, buah fikiran untuk memperbaiki lagi sistem pembelajaran di pondok.

Sistem Pembelajaran

Sistem pondok merupakan pusat pengajian Islam yang menanam semangat dan roh Islam serta menyemai benih berunsurkan kerohanian dalam jiwa setiap individu.

Ia merupakan sistem warisan para ulama yang dipimpin oleh Tuan Guru tanpa mengharapkan orang lain, hanya bergantung semata-mata kepada Allah swt. Tanpa merebut pangkat di dunia yang sementara ini. Tujuan mereka semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah, menghapuskan kerosakan akhlak dan kejahilan umat Islam dan memelihara agama Islam.

Ia juga bermatlamat untuk melahirkan anak-anak murid sebagai penyambung ilmu serta amalan. Pondok digunakan sebagai tempat belajar berbagai kitab tua yang disusun dan dikarang oleh pengikut Mazhab Shafie dan lain-lain mazhab yang berpegang kepada i'tiqad Ahli sunnah wal Jamaah.

Pondok mewajibkan para pelajarnya menghayati ilmu yang dipelajari secara amali. Bukan sekadar teori. Mematuhi disiplin dan undang-undang dengan tujuan mencapai matlamat yang dicita-citakan.

Matlamat

  • untuk menjadikan pondok sebagai Pusat Pengajian Islam secara teori dan amali (praktikal)
  • mencari keredhaan Allah serta menghapus kerosakan akhlak
  • melahirkan jenerasi berilmu, beramal, berani dan bertaqwa
  • melahirkan pelajar yang mahir serta mendalami, mematuhi secara mendalam dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup

Yuran

Pendaftaran RM 10.00
Yuran Setahun RM 50.00

Umur

Buat masa ini sesiapa sahaja yang berminat untuk mengikuti pengajian di sini diterima masuk tanpa sekatan umur. Setiap pelajar berpeluang meninjau-ninjau sekitar kawasan untuk melihat suasana sekeliling.

Biografi Pengasas Pondok

Anda pengunjung ke Hit Counter sejak 03/11/99